Sabtu, 14 Disember 2013

Semangat perjuangan BANJAR SG MANIK

Kandungan





Pengkhianatan yang disabarkan!

Badan Ismail Rudo yang sudah tidak berkaki dan bertangan menggelupur di atas titi, sedang menunggu masa untuk nyawa berpisah dengan badan. Kedua-dua belah kaki dan tangan Mail Rudo putus ditetak parang ‘bungkol’ Utoh Putih. Air jernih yang mengalir deras di bawah titi bertukar merah disirami darah. Maka tertawa besarlah ‘sangkala’ mendapat habuan petang. Darah dalam jantung adalah makanannya.

Begitulah adat orang berkelahi, salah seorang pasti kecundang. Selepas Asar, Mail Rudo pergi seorang diri menghembuskan nafas terakhir tanpa seorang pun yang sudi mendekatinya. Sepucuk pistol 38 tanpa peluru masih berada di sisi jasad yang sudah tidak bernyawa.Ramai penduduk Bendang DO, Parit 6, Sungai Manik terdiri daripada keluarga Banjar. Kehidupan mereka begitu daif dan dihimpit oleh gerombolan komunis yang bermarkas di Sungai Tungko diketuai oleh Ah Pau, Ah Boon dan Ah Jang. Pembunuh Mail Rudo mesti ditangkap segera.

Utoh Putih, adalah seorang berketurunan Banjar ‘Alai’ jati beranak dua. Anak bongsunya seorang bayi perempuan dan baru pandai berdiri-jatuh. Dia menetap di Pekan Rabu, Parit 6, Sungai Manik. Oleh kerana warna kulitnya yang tersangat cerah maka lekatlah gelaran Utoh Putih. Arwah datuk (pencerita) dan Utoh Putih adalah rakan karib yang sama hebat ilmu zahir dan batin.

Mail Rudo, berketurunan Banjar Sungai Tungko, Sungai Manik sudah lama menyertai PKM didalam bahagian risikan. Selepas tentera Jepun menyerah kalah, Mail Rudo ditugaskan mencari ahli baru didaerah Sungai Manik. Disebabkan tidak ramai keluarga Banjar yang sudi menyertai perjuangan komunis, maka akhirnya Mail Rudo terpaksa menggunakan kekerasan. Mereka yang enggan, akan menerima padah!

Saban hari ada saja penduduk kampung yang ditangkap, tak kira muda ataupun tua. Diseksa, disembelih, disumbat di dalam guni hidup-hidup dan dibuang ke Sungai Perak, ditembak, disula, dan bermacam-macam lagi hukuman. Begitulah gerangan bila manusia seperti Mail Rudo sudah mempunyai kedudukan mudah lupa diri hingga hilang rasa kemanusiaan. Pada masa itu bukan sedikit orang Banjar dan orang Melayu yang menyokong perjuangan komunis. Malah ada juga orang Banjar yang hebat ilmunya turut menjadi tali barut. Orang seperti itulah yang menjadi duri dalam daging penduduk setempat. Oleh kerana terlalu mengejar pangkat mereka sanggup membunuh, membakar rumah dan memusnahkan harta benda bangsa sendiri. Penduduk kampung yang takut menyertai perjuangan komunis secara aktif dipaksa pula membayar yuran sebagai ahli PKM.

Kehidupan keluarga Banjar di Sungai Manik semakin terhimpit. Ramai yang terpaksa berpindah ke penempatan Banjar di seberang Sungai Kinta ke Kampung Balun Bidai dan Kampung Gajah. Waktu Zohor baru saja masuk. Alun air bendang dihembus bayu membuat hati terasa rawan. Sambil memikul guni berisi ubi, Utoh Putih melangkah cermat menuju titi untuk kembali ke rumah di Pekan Rabu. Sebaik sampai di pangkal titi,

“Dari mana gerangan ni Toh? Akhirnya bertemu juga kita di sini ya?”

Entah dari mana munculnya si Mail Rudo, tiba-tiba saja tercegat di tengah titi berpakaian seragam komunis, pistol dan bayonet terselit di pinggang. Di wajahnya terpancar rasa kepuasan kerana dapat bertemu dengan Utoh Putih yang sudah sekian lama dipujuknya supaya menyertai PKM.

“Baru balik dari Cikus mencari ubi, maafkan saya tuan, tumpang lalu,” Utoh Putih menyahut penuh hormat.

“Kalau ia pun letaklah dulu guni ubi tu, tak usah bergegas, apa yang nak dikejar, tak ke mana perginya rumah tu,” garau bunyi suara Mail Rudo.
Antara rela dan terpaksa, Utoh Putih mematuhi perintah ‘tuan besar’ dan meletakkan guni ubi di atas titi. Begitu gah susuk tubuh dua orang anak Banjar yang berdiri di atas titi menghadap satu sama lain, cumanya seorang berkulit cerah manakala seorang lagi kelihatan gelap.

“Mungkin petang ini pertemuan kita yang terakhir, agaknya,” si Mail Rudo menyambung bicara.

“Apa hajat, kenapa lain benar kata-kata tuan besar?” Si Utoh Putih yang menyambut bicara merasakan ada sesuatu yang tak kena.

“Tak usah pura-pura tak tau, bagaimana dengan janji kau dulu? Sampai hari ini aku masih menunggu kata putus,” rungut orang kuat PKM itu menempelak.

“Taklah Mail, aku tak nak ikut perjuangan yang membinasakan bangsa, sedangkan perjuangan untuk mengisi perut sendiri dan anak bini rasa dah tak tertanggung. Tidak… tidak sekali-kali,” si Utoh Putih menjawab tegas.

“Mak oi, keras benar hati kau ni Toh… apa nak buat… kalau itulah pendirian kau, bersiap sedialah,” merah padam muka Mail Rudo kerana marah.

 Spontan tangan kanannya mencapai pistol di pinggang dan mengacukan ke dada si Utoh Putih.

“Jangan, senjata jangan dibuat main Mail. Kita kan serumpun, takkanlah kau tak ada belas kasihan. Ditakdirkan aku tak ada, siapa yang nak menyara anak isteriku nanti… ampun tuan besar,” si Utoh Putih merayu minta simpati.

“Dam!!!” Bunyi pistol memuntahkan peluru sulung. Berasap baju buruk si Utoh Putih dihinggapi peluru, namun dia masih tak berganjak, masih tegak berdiri.

Keluarga Banjar berhampiran yang terkejut melihat kejadian tak berani mendekati, masing-masing masuk ke rumah.

“Dhom… dhommmm!” Sudah tiga das tembakan dilepaskan oleh Mail Rudo namun peluru masih tak mampu menembusi kulit si Utoh Putih.

“Bangsat betul, kebal rupanya kau ya… tahan lagi nah!,” tengking orang kuat PKM. Tanpa disedari sudah enam das tembakan dilepaskan dan pistolnya sudah kehabisan peluru. Sedang dia terkial-kial tidak percaya melihat peluru pistolnya gagal menembusi tubuh Utoh Putih.

 “Debukkk….”

Ayunan parang bungkol yang bergelar si Kandal Larap hinggap di pergelangan tangan kanan Mail Rudo. Tangannya putus serta merta. 

“Andainya kau masih muslim di sisi ALLAH.. aku tak ingin mati di tanganmu, dan aku tak mahu membunuh sesama muslim.. bersaksilah bahawa ajal dan maut di tangan ALLAH! “ bebelan mulut Utoh Putih seraya menghayun parang pusakanya “Dabukkk….” Giliran tangan kiri yang memegang pistol si Mail Rudo ditetak dan jatuh ke tanah. Utoh Putih meneruskan ayunan. Kali ini lutut kanan Mail Rudo pula jadi mangsa parang bungkol Kandal Larap. Setelah putus kaki kanannya, maka terdamparlah jasad Mail Rudo di atas titi. Si Utoh Putih semakin geram lantas mengatakan “bertaubatlah semoga kesakitan ini mendatangkan keinsafan”. Tetakan terakhirnya membuat kaki kiri Mail Rudo bercerai dengan badan. Guni yang berisi ubi diletakkan semula ke bahu, dan Utoh Putih terus balik ke rumah meninggalkan Mail Rudo mengerang kesakitan.

PKM membela kematian Pengkhianat yang Berjaya diperbodohkan.


Markas PKM di Sungai Tungko gempar mendapat berita tentang pembunuhan Mail Rudo. Dengan bersenjatakan raifel MK5, berduyun-duyun gerombolan komunis yang diketuai orang kanan mereka si Ah Pau bergegas menghala ke Bendang DO, Parit 6, Sungai Manik.

“Ai yaa…kaki tangan semua kasi potong habit ka…manyak cilaka itu olang.” Bebel si Ah Pau apabila terpandang mayat Mail Rudo yang masih terkangkang di atas titi.

Tidak seorang pun keluarga Banjar di Bendang DO yang berani tampil menunjukkan muka. Mereka hanya menyaksikan dari jendela rumah masing-masing. Hari semakin larut petang, gerombolan komunis masih riuh berbincang sesama sendiri. Entah apa yang mereka bincangkan tak seorang pun penduduk kampung yang mengerti. Sejurus kemudian, kumpulan komunis itu pergi dari rumah ke rumah mengetuk kuat dinding mengarahkan orang kampung, tua dan muda, berkumpul di hadapan Pekan Rabu. Seorang demi seorang disoal siasat termasuklah Utoh Putih. Namun, keluarga Banjar sepakat berpura-pura tak kenal siapa yang membunuh Mail Rudo.

 Akhirnya kepala komunis, si Ah Pau memberi kata dua: “Kalau pembunuh Mail Rudo tidak ditangkap, Bendang DO akan jadi padang jarak padang tekukur.”

Mayat Mail Rudo diikat dengan tali dan digalas dengan kayu panjang untuk dibawa pergi. Rasa kasihan pun ada melihat cara mayat diperlakukan tak ubah seperti mengandar hasil buruan babi hutan. Tiada siapa yang tahu ke mana akan mayat itu hendak dibawa, ditanam atau dibuang ke Sungai Perak. Kalau dibuang ke sungai pastinya ternganga luas mulut sang buaya mendapat habuan petang. Warga Banjar Sungai Manik Sungai Manik sepakat meminta Utoh Putih membawa isteri dan anakanaknya meninggalkan Bendang DO dengan segera. Maklum sajalah, mulut tempayan boleh ditutup rapat , mulut manusia siapalah tau. Tapi apa pula kata empunya diri!

“Tidak saudaraku. Untuk apa kalau aku seorang sahaja yang menjaga anak dan isteri sedangkan kalian semua terpaksa menanggung derita. Aku tidak akan meninggalkan kampung ini. Tidak, tidak sekali-kali, apa nak jadi, jadilah.” Jenuh penduduk kampung memujuk namun Utoh Putih tetap dengan pendiriannya.

Sudah tiga hari berlalu, Emoh, sahabat karib Utoh Putih yang baru dapat berita segera meluru meninggalkan Balun Bidai menyeberang Sungai Kinta menuju ke Bendang DO untuk menemui sahabat karibnya, kawan sehati, seperguruan dan sama jaguh. Persahabatan mereka lebih akrab dari hubungan adik-beradik, dan tentunya Emoh tidak akan membiarkan sahabatnya keseorangan dalam keadaan sedemikian.

“Andainya aku berhijrah meninggalkan Bendang DO, mati juga akhirnya, ajal maut sudah ditentukan, tiada siapa boleh menghalang.” Utoh Putih memulakan perbualan setelah selesai makan malam itu.

“Ai, jangan begitu, apa rasa kau ‘Toh?” tanya Emoh yang mula rasa tak sedap hati.

“Tidak lah, manalah tahu peluang dan niat syahidku terkabul,” jawabnya ringkas.

Walau bagaimanapun, Emoh masih rasa gelisah kerana lain benar kelakuan sahabatnya yang semakin pendiam, lebih bersikap mengiakan dari merancakkan perbualan. Selalunya kalau lama tak berjumpa, tak kering gusi mereka berbual. Malam semakin larut namun dua orang sahabat karib itu masih lagi belum tidur, masih rancak berbual.

“Moh, andainya ajalku sampai, jangan bersusah payah membawa mayatku ke Balun Bidai, kebumikan saja di sini. Tetapi, jangan kau lupa membawa anak isteriku dan serahkan kepada keluarganya di sana. Sepanjang kita bersahabat, kalau ada terlebih terkurang, aku minta halal dunia akhirat. Engkau pula Moh, biarlah disederhanakan kejaguhan. Berhati-hatilah memilih kawan. Satu lagi, tetapi jangan pula kau anggap aku menghalau. Esok sebelum Zohor, aku minta kau segera beredar dari rumahku, ke mana yang kau hendak tuju, aku tidak melarang . Tiada apa-apalah, cuma aku rasa lebih selesa kalau bersendirian!”
Berderau rasa si Emoh mendengar kata-kata sahabatnya, lantas bangun mendakap Utoh Putih. Tak sepatah kata pun yang terucap antara mereka kecuali deraian air mata mengenangkan nasib yang bakal menimpa.

“Mungkin sudah sampai janji (ajal) saudaraku ini,” bisik hati kecil Emoh. Mereka terus berbual sampai ke subuh. Dalam remang kedinginan subuh, kedua sahabat sudah tercegat di tepi telaga mandi.

“Marilah, duduklah Toh….. Bismillahirahmanirahim…..” Emoh membaca ayat mandi suci sambil menyiram air memandikan sahabatnya si Utoh Putih hingga selesai.

Api di dapur marak dengan isteri Utoh Putih sibuk menyediakan sarapan pagi. Kasihan si isteri kerana tidak tahu kisah dan hujung pangkal cerita. Pada pengamatannya, bermandi-mandian di subuh hari sudah jadi kelaziman dua orang pendekar tersebut.
Panas semakin terik di Bendang DO sebagai tanda pagi sudah beralih ke tengahari. Maka tibalah saatnya untuk kedua sahabat itu berpisah.

Salah seorang terpaksa memegang janji. “Janganlah dilupa pesan guru kita wahai saudaraku, walau nyawa sudah
berada di hujung, jangan sekali-kali kau lupa…,” pesan Emoh kepada Utoh  Putih. Kedua sahabat berpelukan untuk kali terakhir.
“Ampun dan maaflah kita dunia akhirat.” dengan kata-kata itu, Emoh terus meninggalkan sahabatnya si Utoh Putih tanpa menoleh lagi ke belakang.

Ke mana gerangan tujuannya, tiada siapa pun tahu. Selepas solat Zohor tengahari itu, kelopak mata Utoh Putih terasa berat
kerana tak tidur semalaman. Anak bongsunya sudah terlena di tepi anjung rumah. Hembusan bayu Bendang DO terasa dingin. Tidak lama setelah Utoh Putih merebahkan badan di sebelah anaknya, dia pun turut terlena. Hari semakin menghampiri petang. Entah kenapa gerangan hari ini Bendang DO sunyi sepi. Tak seorang pun yang kelihatan mundar- mandir di luar rumah seperti hari-hari biasa.

Agaknya mereka sengaja mendiamkan diri dalam rumah, masih terkejut dengan kematian Mail Rudo dan kata dua komunis, atau sedang menghitung hari kerana tempoh seminggu yang diberikan PKM semakin hampir. Tanpa disedari enam orang komunis sedang menghampiri rumah Utoh Putih. kebetulan pula, isteri dan anak sulungnya tiada di rumah kerana pergi mengail ikan puyu bersama kawan-kawannya.

Dengan menatang raifel MK5, gerombolan komunis terjingkit-jingkit menjenguk setiap jendela rumah. Sebaik terpandang Utoh Putih yang sedang lena, tanpa membuang masa muncung MK5 diacukan ke kepala dari luar jendela.

“Dam…dam…dam!” Tiga kali muncung raifel memuntahkan peluru. Kerana sudah sampai ajalnya kekebalan Utoh Putih berakhir. Tak sedikit pun yang tinggal. Menggelegak darah dalam jantung keluar menerusi ruang-ruang terbuka di kepala. Mujur juga anak kecilnya tidak diapa-apakan. Menjerit si anak yang terkejut, merangkap mendakap bapanya yang sudah tidak bernyawa lagi.

Berdekah-dekah ketawa gerombolan komunis kerana berpuas hati dapat membalas kematian Mail Rudo. Selepas itu mereka terus meninggalkan Pekan Rabu, Bendang DO menghala ke Sungai Tungko. Si Emoh yang sedang dalam perjalanan menghala ke Bendang DO hampir terserempak dengan kumpulan PKM yang masih terbahak-bahak kegembiraan. Mujur juga dia ternampak mereka terlebih dahulu, lantas melompat menyembunyikan diri ke dalam semak.

Parang bungkol yang bergelar “si Buruk” sedia tergenggam di tangan. Andai ketemuan, tak tahulah apa yang akan terjadi. Mujur juga dia masih lagi dilindungi Allah, dan tiada seorang pun komrad komunis tersebut dapat melihatnya.

Perginya seorang sahabat Bercucuran air mata Emoh terkenang sahabatnya si Utoh Putih. “Mungkin dah tiada lagi saudaraku ini,” bisik hati kecilnya. Belum pun jauh kumpulan komunis itu berlalu, Emoh bingkas dan pantas berlari meredah pinggir bendang menghala ke rumah Utoh Putih yang sudah mula dipenuhi orang ramai. “ Pergilah dulu wahai saudaraku kerana bila sudah sampai masanya, tiada siapa dapat menghalang,” bisik Emoh ketika terpandang jenazah si Utoh Putih.

Semuanya Warga Banjar Sungai Manik di Bendang DO sepakat untuk menyempurnakan jenazah petang itu juga. Dalam keadaan serba kekurangan kerana darurat, pengkebumian berlarutan sampai ke malam. Betapa benarnya kata-kata “kalau mulut tempayan pekasam boleh disumbat ketat, mulut manusia siapa yang dapat menduga”. Tentu ada yang celupar kalau tidak masakan PKM tahu Utoh Putih yang empunya angkara (membunuh Mail Rudo).

Mengerlit kilauan parang bungkol si Kandal Larap yang sudah tidak bertuan tersangkut di dinding. Sambil mengusap mata parang bungkol peninggalan sahabat karibnya, hati Emoh berkata, “Satu ketika nanti akan kumandikan si Kandal Larap dengan darah seteru haram jadah. Sudah seminggu berlalu, mujurlah tiada apa-apa kejadian yang tak diingini berlaku di Bendang DO. Pun begitu, keluarga Banjar yang berada di situ masih curiga kerana maklum sajalah janji komunis tak boleh dipercaya.

Komunis Mula Perasan Berkuasa Penuh

Dalam diam, kerabat PKM sudah membina sebuah markas kecil kira-kira satu kilometer dari Bendang DO dengan tujuan mengawasi dan berkempen kononya tiada siapa pun yang boleh memerdekakan Tanah Melayu selain daripada PKM. 
Ramai jugalah orang Melayu dan Banjar yang mula terpengaruh diresapi dakyah komunis sehingga ada yang sanggup menyertai kumpulan bersenjata, manakala yang penakut atau berani-berani lalat pula memadailah sekadar menjadi mata dan telinga mereka.
Markas PKM di Bendang DO tidak mendapat sambutan langsung. Perjuangan apa gerangan kalau caranya lebih teruk dari pemerintahan Jepun. Begitulah agaknya tanggapan Warga Banjar Sungai Manik seluruh Bendang DO, geram benar gamaknya.

Ketua komunis di markas besar Sungai Tungko mula gelisah kerana kempen mereka dipandang sepi oleh Warga Banjar Sungai Manik di Bendang DO yang masih keras hati. Akhirnya gerombolan PKM terpaksa membuat percaturan lain dengan menimbulkan masalah saban hari, tak cukup dengan makanan, harta benda orang kampung dirampas, tanaman musnah diinjak dilenyek. Namun tidak juga membawa hasil yang diharapkan malah semakin menambah marak api kemarahan Warga Banjar Sungai Manik.
Ah Pau, Ah Boon dan Ah Jang orang kuat komunis mengeluarkan perintah dan amaran terakhir. Kalau tidak sanggup melihat Bendang DO menjadi padang halilintar, dalam masa seminggu Warga Banjar Sungai Manik diarah mengumpulkan kaum perempuan yang masih muda, tak kiralah anak dara atau isteri orang. Sudah lama benar gerangan si kulup ini menagih kaum perempuan, dan kalau itulah caranya, bagaimana gerangan dapat menentang British kelak!

Begitulah, satu perintah, satu tagihan yang menyusahkan Warga Banjar Sungai Manik Bendang DO. Kemana hendak mengadu kerana dalam keadaan darurat begini? Penghulu tiada, Ketua Kampung pun tiada. Bagaimana ya!

Haji Bakri, Banjar dari suku kaum Rantau baandah berhijrah dari Kalimantan ke Sapat, Sumatera. Dari Sapat berhijrah pula ke Batu Pahat, Johor, dan bertemu jodoh di sana. Isteri tua bernama Patmah binti Hj Hassan dan dikurniakan dua orang anak, Zainab dan Abdul Majid. Isteri muda bernama Samiah binti Hj Abdul Jalil dan dikurniakan tiga orang anak, Abdul Kadir, Abdul Hamid dan Siti Sarah. Haji Bakri lemah lembut orangnya, sentiasa merendah diri hinggakan tidak ramai yang tahu tentang ketinggian ilmunya, dunia dan akhirat. Setelah mendengar khabar tentang Warga Banjar Sungai Manik ramai menetap di Sungai Manik, beliau berhijrah ke sana sebelum Jepun memerintah Malaya. Beliaulah yang banyak mengajar agama dan membetulkan akidah Warga Banjar Sungai Manik di Sungai Manik. Lantaran itu beliau diberi gelaran Tuan Guru.
“Kalau sampai menagih perempuan, itu sudah benar-benar melampau,” ujar Tuan Guru yang sudah mula rasa geram.

“Tidak ada lain melainkan parang bungkol lawannya si haram jadah ni,” bebel Tuan Guru yang sudah merah padam muka kerana marah. Tuan Guru Haji Bakri membuat pakatan sulit dengan Warga Banjar Sungai Manik Bendang DO yang bersetuju untuk menentang komunis.

Sebagai permulaan, lapan orang perempuan berjaya dikumpulkan, tapi kemudiannya hanya lima orang yang setuju, itu pun setelah jenuh memujuk. Memang benar pun, tiada siapa yang sudi dijadikan hamba seks kepada pengganas komunis yang tak tahu bahasa itu.


“Bukan kami bodoh menyerahkan bulat-bulat warga yang masih sunti melainkan ada helah untuk dibuat umpan sementara,” Tuan Guru memberi kepastian.


Persiapan untuk berjihad Tempoh yang diberikan PKM hanya tinggal tiga hari saja lagi. Warga Banjar Sungai Manik masing-masing sibuk mengasah parang bungkol yang beranika gelaran. Tajamnya si Kandal Larap boleh dijadikan pisau cukur untuk membotakkan
kepala. Ketika itulah dapat dilihat pelbagai ilmu dan amalan orang Banjar. Ada yang berendam semalaman dalam perigi buruk, ada yang berwirid siang malam tanpa henti, mandi buluh dan bermacam lagi petua. Betapa tidak, perjuangan antara hidup dan mati bukan boleh diambil mudah.

Rumah Tuan Guru Hj Bakri bersebelahan surau Parit 8, boleh tahan juga besarnya. Diperbuat dari kayu baik zaman British, kukuh dan padu. Dalam rumah itulah Warga Banjar Sungai Manik mengatur strategi untuk berdepan dengan pengganas komunis. Berkilaun mata parang bungkol pesaka moyang yang dibawa dari kampung halaman di negeri Banjar, dan kebanyakannya sudah pernah dibasahi darah tentera Belanda. Memang sudah terbukti kehebatan parang-parang tersebut ketika digunakan memerangi penjajah di Kalimantan dulu.  Pada masa itulah terkeluar nama atau gelaran yang tak pernah didengar sebelumnya. Ketika itu, Tuan Guru Haji Bakri tiada ada anak lelaki dewasa di Sungai Manik, yang ada hanya seorang cucu lelaki yang masih remaja berusia awal 20an. Acil, nama cucu kesayangannya. Nakalnya boleh tahan juga, tidak jauh bezanya dengan anak-anak hari ini. Disebabkan kenakalan itulah, Tuan Guru Haji Bakri segera menurunkan ilmu kepada cucunya. Maka semakin bertambahlah kejaguhan si teruna ini. “Nah, buat genggamanmu,” Tuan Guru Haji Bakri menghulur parang bungkol si “Mandam Layu” kepada cucunya.

Cantik sungguh, hulunya diukir dari akar buluh betung, rumbai perca kain merah di hujung menambah keampuhann bila dipandang. Senyum meleret si Utoh Acil menerimanya. Sunyi sepi seluruh Bendang DO kerana setiap buah rumah telah dikosongkan, penghuninya berpindah ke rumah Tuan Guru, markas Warga Banjar Sungai Manik di Parit 8. “Mudah-mudahan kita semua dilindungi Allah… Allahuakbar,” ujar Tuan Guru Haji Bakri ketika melepaskan Warga Banjar Sungai Manik bagi memulakan gerakan menghampiri markas PKM di muara Bendang DO tengah malam itu.

Mereka bergerak persis Ninja. Yang masih tinggal bersama Tuan Guru ialah Emoh, Acil, Sukri, Sabran, Ali dan Amat Tuban. Tak ikut serta bukan bererti penakut tapi ada rencana dan perkiraan tersendiri. Pagi Isnin, dengan terbitnya matahari di ufuk timur, maka sampailah sudah saat dan ketikanya Warga Banjar Sungai Manik di Bendang DO membuat perhitungan dengan gerombolan haram jadah, tentera PKM.

Semakin bercahaya wajah 8 orang perempuan Banjar yang sudah disolek dan didandan. Rasa tidak dapat lagi menceritakan, rambang mata sekiranya disuruh memilih tunggal satu persatu. Wajah perempuan yang mulanya kecut ketakutan mula nampak merah, dan juga garang! Membara sungguh nampaknya kerana baru saja diminumkan air jampi Tuan Guru. Mudahlah nanti jika ada yang lemah semangat atau gementar bila berdepan musuh. Atau jika ada yang tidak tahan melihat darah membuak-buak di medan pertempuran. Emoh, Acil dan Sabran baru saja didandan menyamar menjadi perempuan.

Hebat juga hasil solekan warga perempuan Banjar di Bendang DO, mungkin juga boleh mengalahkan ‘mak nyah’ yang terkedek-kedek. Tapi mereka perlu berhati-hati jangan sampai terselak betis, nanti kelihatan pula bulu kaki hitam lebat…pecahlah tembelang.
Kira-kira jam 9.00 pagi, berduyun-duyun ‘perempuan’ Banjar tersebut berjalan sebaris menghala ke markas PKM di muara Bendang DO, didahului oleh Ali dan Amat Tuban sebagai wakil penyerahan. Mereka berdua dilarang membawa sebarang senjata. Tetapi, orang Banjar tidak akan sanggup meninggalkan senjata apatah lagi bila menghala ke medan juang. Pisau belati setajam pisau cukur sudah lama tersisip di pinggang masingmasing. Cuma baju sahaja yang membuatnya tidak dapat dilihat dengan
mata kasar.
Gerombolan komunis di markas Bendang DO terbahak-bahak ketawa, seperti tidak sabar lagi menanti lebih-lebih lagi tiga orang kepala komunis bernama Ah Boon, Ah Pau dan Ah Jang . Rasa gelihati pun ada melihat tiga orang “anak dara” yang berjalan paling
belakang kerana masing-masing berselubung dengan kain. Rasa malu apabila gerangan kalau tangan menggenggam erat hulu parang bungkol si “Kandal Larap”, si “Mandam Layu” dan si “Tungkih Kiwang”. Rasa kekok melangkah kerana tidak biasa berjalan memakai kain meleret labuh begitu.

Tuan Guru Hj Bakri yang tinggal seorang diri tidak bersuara lagi, tasbih di tangan langsung tak dilepaskan, berwirid tanpa henti di dalam surau. Kanak-kanak yang masih kecil pun tidak berani menghampirinya. Bermulanya serangan Jam 10, deretan “perempuan” tiba di hadapan markas PKM di muara Bendang DO. Lantas si Amat Tuban dan Ali menyerahkan mereka kepada ketua komunis.
Semakin kuat gelak ketawa mereka, gembira tidak terperi ibarat bulan jatuh ke riba. Tidak disangka Warga Banjar Sungai Manik seluruh Bendang DO yang kononnya berani menentang Bintang Tiga hanya omong kosong.

Riuh  rendah markas dengan dialog Cina, mengumpat agaknya. Benar-benar celaka 13! “Hei tepilah… lu sana,” salah seorang kepala komunis menengking sambil menolak kasar si Ali dan Amat Tuban.

Tiga orang kepala komunis terus memeriksa dari depan ke belakang, menyelak selubung satu persatu. Rambang mata. Yang lainnya turut sama berkerumun tak ubah seperti harimau yang laparkan daging manusia. Akhirnya leka hingga tidak terjaga
lagi markas taktikal.

Sampai kegiliran diyang (gelaran anak dara Banjar) cantik yang kelima, si Ah Boon kepala komunis... “Ai yaaa, manyak cantik lo ha…,” jari mula hendak merayap kerana teringin benar menyentuh. Baru hendak memeluk untuk mencium… “Bangsat, seteru babi haram jadahhh… Allahuakbarrr!!!” tengking si Emoh dengan kuat.

“Nah ambil habuan engkau sangkala.” Labukkk…. si Kandal Larap hinggap ke sasaran tanda patuh kepada tuannya. Tergolek kepala si haram jadah jatuh ke tanah bercerai dengan badan, membuak darah dalam jantung membasahi bumi Sungai Manik. Acil
menerkam si Ah Jang yang sedang tergamam. Labukkk… mata parang si Mandam Layu hinggap, layu dan longlai leher si
Ah Jang terkena libasan parang bungkol si Mandam Layu. Sebiji lagi kepala ketua komunis gugur ke bumi. Bukkk… tetakan diayun oleh Sabran. Ternyata benar si Tungkih Kiwang tak pernah ingkar kepada tuannya, putus dua badan si Ah Pau. Tungkih
Kiwang masih belum puas , memenggal puluhan leher musuh. Putus serta merta, bergelimpangan kepala komunis di halaman markas PKM Bintang Tiga.

Kebangkitan Melayu Menentang Komunis


Warga Banjar Sungai Manik Bendang DO yang sudah setengah malam bersembunyi dalam parit tidak berair bingkas bak cendawan busut, mengejar anak buah Bintang Tiga yang sedang dalam kebingungan. “Allahuakbarrr!!!” sebaik saja menghampiri musuh yang sedang lintang pukang, mereka terus melibaskan parang. Belum sempat mengangkat  senapang, tubuh mereka sudah dihinggapi parang bungkol.

Ibarat menebang batang pisang!. Seramai 34 orang orang anggota PKM terdampar di tangan Banjar Bendang DO. Darah merah membasahi bumi, mayat bergelimpangan, senjata musuh bertaburan. Mujurlah tidak seorang pun Warga Banjar Sungai Manik yang terkorban atau
tercedera, cuma baju dan seluar mereka saja yang merah terkena percikan darah musuh. Bangsal komunis diselongkar. Ceh, yang ada cuma seguni beras dan perkakas memasak! Tanpa banyak bicara, Acil memikul guni beras untuk dibawa balik.

Namun, tiada sepucuk pun senjata raifel MK5 yang bertaburan diambil. Tidak teringin langsung, tidak berkenan atau tidak tahu menggunakan makanya dibiarkan begitu saja. Merah menyala terbakar markas kecil PKM di muara Bendang DO dibakar. Dengan itu berbalaslah sudah kematian arwah si Utoh Putih. Berkubang sakan Warga Banjar Sungai Manik membersihkan badan dalam parit besar di hadapan rumah Tuan Guru Hj Bakri. “Sudahlah!” terpekik terlolong. Pakcik Sukri tak turut serta dalam pertarungan memanggil mereka naik.

Azan di surau menandakan masuknya waktu Zohor. Selepas menunaikan solat dan makan tengahari, para pejuang Banjar merebahkan badan kepenatan, memenuhi anjung, pelantar, serambi dan surau kecuali Acil, Emoh dan Sabran. Mereka bertiga menceritakan perlaksanaan rancangan yang serba serbinya berjalan lancar.

Meleret senyuman Tuan Guru Haji Bakri mendengarnya. Markas besar PKM di Sungai Tungko gempar seperti anak ayam
kehilangan ibu. Kekalahan yang tidak diduga, tiga orang pegawai mereka terkorban, bak tikaman duri berbisa dalam sejarah perjuangan PKM di Hilir Perak.
Sementara menanti ketibaan pegawai lain, tak seorang pun anggota komunis yang berani menunjukkan muka di Bendang DO. Lain pula kisahnya dengan Warga Banjar Sungai Manik yang berhimpun di rumah Tuan Guru. Lelaki dan perempuan sibuk menggunting kain bakal dibuat wafak Selendang Merah.

Tuan Guru Hj Bakri sudah mendapat firasat. pertumpahan darah di muara Bendang DO tak kan berakhir begitu sahaja. Warga Banjar Sungai Manik seluruh Sungai Manik harus membuat persediaan awal untuk menghadapai peperangan terbuka, dan mungkin berpanjangan.
Peperangan seterusnya bukan saja tertumpu kepada penentangan terhadap PKM, tetapi melibatkan sengketa kaum dan agama. Kalau sudah begitu kehendaknya, terpaksalah diteruskan juga. Alang-alang bermandi darah biarlah sampai ketitisan terakhir. Seruan jihad bergema  Mentang-mentang sudah dapat ketua baru yang datang dari pangkalan PKM di Sungai Galah, Tanjung Tualang, pengganas komunis di Sungai Tungko makin mengganas membalas dendam gamaknya. Setiap kampung berhampiran Sungai Tungko habis diganggu, harta benda di ambil, anak dara dan isteri orang sudah tak berkira lagi. Siapa yang berani melawan alamat tersungkur menjadi sasaran peluru raifel MK5.

Anak kecil yang masih dalam buaian pun turut menjadi korban, tanpa rasa belas kasihan. Tidak cukup dengan perlakuan sebegitu, surau pula hangus dibakar Komunis. “Sampailah sudah saat dan ketikanya wahai wargaku semua, demi Allah dan Rasulnya, aku isytiharkan Fisabilullah… Allahuakbar!” Suara Tuan Guru Haji Bakri bertakbir dengan lantang.

“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!!!” Warga Banjar Sungai Manik menyahut seruan.

Setelah mendengar berita tentang tertewasnya gerombolan komunis di muara Bendang DO, keluarga Melayu yang menghuni perkampungan di pinggir Sungai Perak pula yang dijadikan mangsa PKM. Puluhan warga Melayu datang menemui Tuan Guru Hj Bakri meminta ilmu peperangan. Walaupun hanya diberi minum air jampi, itupun sudah cukup untuk meyakinkan orang Melayu yang berjanji untuk sama-sama menyerang PKM di Sungai Tungko.

Sementara itu, Warga Banjar Sungai Manik pula sebulat suara melantik Acil, cucu Tuan Guru sebagai Khalifah Fisabilullah , walaupun masih muda tapi ilmu sudah penuh di dada.

“Dengar, dengar semuanya, esok selepas Subuh kita bergerak menyerang markas si haram jadah di Sungai Tungko. Allahuakbar!!!” Ujar si Acil memberi taklimat.

Hari masih lagi kelam, selepas solat Subuh dan bersarapan seadanya, Warga Banjar Sungai Manik yang bakal pergi menyerang markas PKM masing-masing menyarung pakaian serba putih, selindang merah melilit badan, tanjak di kepala juga berwarna merah, parang bungkol bergemerlapan. Melihat pakaian begitu pun sudah boleh menimbulkan kegerunan, itu belum lagi berhadapan, meremang bulu roma. Sebaik saja selesai bacaan doa oleh Tuan Guru, mereka terus menuju Sungai Tungko.

Tak siapa dapat menduga, rupa-rupanya gerombolan PKM sudah sedia menanti ketibaan Warga Banjar Sungai Manik , seperti sudah dijanjikan. Laras raifel MK5 sedia tertatang, jari melekat di pemetik senapang, dan sebentar lagi bakal berterbanganlah peluru.

Di surau Parit 8, Tuan Guru Haji Bakri terus berzikir tanpa henti. Hanya Pak cik Sukri yang berulang alik ke rumah mengawasi anak isteri Warga Banjar Sungai Manik yang ditinggalkan demi Fisabilullah. “Fisabilullah… Lailahaillallah… !!!” Jerit si Acil sebagai Khalifah perang
memberi isyarat bermulanya peperangan.

“Lailahaillallah…!” Bergema suara Warga Banjar Sungai Manik berkalimah tanpa henti. Selepas itu, bunyi peluru berterbangan, macam air hujan rancaknya peluru meninggalkan muncung senapang. Gerombolan PKM tercengang kehairanan kerana tidak seorang pun Warga Banjar Sungai Manik yang dihinggapi peluru. Tanpa disedari, pejuang Banjar hanya sedepa di depan mata. Mata parang bungkol menetak pantas menghayun sekehendak hati. Senjata api yang dimegahkan oleh komunis nyata tidak bermakna lagi. Akhirnya dibuat penangkis tetakan pejuang Banjar. 

Si Kandal Larap dan adik beradik parang bungkol lainnya ketawa riang bermandikan darah. Cair markas besar PKM Sungai Tungko dihancurkan Warga Banjar Sungai Manik Bendang DO. Baju dan seluar masing-masing basah kuyup, hinggakan boleh diperah kerana dibasahi darah pengganas komunis.

“Allahuakbarrrr!” Takbir Si Acil khalifah parang bungkol meminta Warga Banjar Sungai Manik berhenti. Bergelimpangan mayat, merah bumi Sungai Tungko dibasahi darah. Namun, lima orang ketua PKM terlepas lari meninggalkan medan peperangan. Lari bukan sebarang lari. PKM yang pendendam dan kental dalam perjuangan tak akan membiarkan begitu saja. Belum sampai seminggu selepas pertempuran di Sungai Tungko, berduyun-duyun ahli PKM datang dari setiap penjuru pos PKM di daerah Hilir Perak menghala ke Sungai Manik.

Gelombang Perang kedua

Gelombang perang kali kedua Pertemuan kali kedua lebih hebat lagi. Bukan setakat raifel MK5 sahaja yang mereka gunakan, bertimbun Bren Gun dan berpeti-peti banyaknya bom tangan yang seperti buah jambu batu. Namun, tak sedikit pun dapat melunturkan semangat juang Warga Banjar Sungai Manik Sungai Manik. Selain parang bungkol, kalimah “Lailahaillallah… Allahuakbar!” Itulah yang dipegang sebagai senjata utama warga kita. Peperangan seterusnya tak dapat ditamatkan dalam sehari seperti sebelumnya. Sudah jadi syarat ilmu Tuan Guru Haji Bakri, walau musuh sedang mengamuk sekalipun, bila sampai masanya untuk berhenti, maka terpaksalah dihentikan. Siapa yang berani melanggar syarat akan menerima padah. Acil, khalifah parang bungkol Sungai Manik baru saja melaungkan kalimah “Allahuakbar” sebagai isyarat menghentikan peperangan untuk hari itu. Seperti biasa, para pejuang Sabilullah berkumpul untuk mengira dan mengenal pasti setiap orang, manalah tahu kalau-kalau ada yang gugur, atau ada lagi yang masih meneruskan pertempuran.

Pernah terjadi seorang Warga Banjar Sungai Manik tiada dalam perhimpunan. Melihat ketiadaan adiknya, si abang melanggar pantang larang dengan berpatah balik mengejar musuh dengan geram. Akhirnya abang dan adik hilang dan tak muncul lagi.

Sudah genap sebulan perang Sabil di Sungai Manik, tapi masih belum menampakkan tanda akan berakhir. Bertimbun, bergelimpangan mayat komunis namun mereka masih belum serik, malah semakin cekal.

Kekuatan mereka bertambah saban hari, entah dari mana datangnya tak pula diketahui. Dalam pada itu, gerombolan komunis di Seberang Sungai Perak makin mengganas, menyeksa dan membunuh orang Banjar dan Melayu di Kampung Gajah dan Balun Bidai. Orang Cina tidak pula diapa-apakan malah dijaga dengan baik. Begitu agaknya taktik kotor komunis untuk melemahkan semangat pejuang Sabilullah di Sungai Manik.

Bantuan dari Batu Pahat


Sepanjang senja, di tepi rumah Tuan Guru Haji Bakri, riuh rendah murai berkicau tanpa henti. “Kalau berita baik, bawalah kemari, kalau buruk jauhkanlah,” begitulah  selalunya kata-kata orang tua Banjar bila mendengar kicau murai diwaktu senja. Selepas solat Isyak malam itu, “Assalamualaikum!!!” Kedengaran suara memberi salam di depan surau. Serentak jemaah menyambut salam. Setelah diamati bergegas Tuan Guru turun ke tanah lalu memeluk sambil menepuk belakang orang yang memberi salam. “Selamat datang adikku,” kata-kata aluan Tuan Guru membuat Warga Banjar Sungai Manik lainnya terpinga-pinga kerana tak seorang pun yang kenal. Masmuda, adik Tuan Guru Hj Bakri baru saja tiba dari Batu Pahat.

Si Acil terus menerkam datuk saudara yang tidak kurang hebatnya. Ialah, kalau sudah sedarah sedaging, ke mana lagi tumpahnya ilmu. Perang Sungai Manik sedang rancak, keadaan di Balun Bidai dan Kampung Gajah semakin genting.

Saban hari gerombolan komunis mencari fasal. “Tak boleh dibiarkan, semakin menjadi-jadi benar keganasan mereka,” rungut Tuan Guru Hj Bakri bercampur marah. Para pejuang Sabilullah sepakat melantik Masmuda sebagai Khalifah perang mengganti Acil di Sungai Manik. Tuan Guru Hj Bakri dan Acil pula akan turun ke Balun Bidai secepat mungkin. Wafak Selendang Merah dibuat khusus untuk warga di seberang Sungai Perak. Salah seorang tukang tulis kalimah Allahuakbar Selindang Merah bernama Asmuni. Pertama kali Masmuda memimpin pejuang Sabilullah di Sungai Manik, ketara benar kehebatannya. Musuh melepaskan tembakan ke atas, peluru berterbangan seperti air hujan menerjah angin kosong.

Petunjuk pada yang keliru dan khianat!

Pada pandangan mereka, para pejuang Sabilullah semuanya tinggi, setinggi pohon getah maka itulah mereka asyik menghalakan tembakan ke atas. Ketika itulah para pejuang Sabilullah menyerbu, menebas, menetak dan memancung musuh. Baru sekejap, bersih medan pertempuran. Namun, antara musuh yang gugur di hujung parang bungkol pejuang Banjar, terdapat ramai yang menyebut kalimah Allah.

Setelah diamati ternyata mereka adalah orang Melayu dan Banjar yang sudah terpedaya menyertai perjuangan komunis. Dalam pertempuran sukar untuk mengasingkan antara Banjar, Melayu dan Cina kerana mereka semuanya menyarung pakaian seragam Bintang Tiga. Para pejuang PKM masih lagi berdegil - tidak mengerti makna putus asa. Sambil menanti bantuan dari Sungai Karang seberang Teluk Anson (Teluk Intan), mereka meneruskan perjuangan. Mujurlah Allah tidak mengizinkan. Tongkang yang sarat membawa gerombolan PKM karam di tengah Sungai Perak, tidak jauh dari Pulau Galagak dekat pelabuhan Teluk Anson (Teluk Intan).

Melambak gerombolan Cina komunis yang tidak pandai berenang tenggelam batu dan mati lemas. Manakala gerombolan komunis bangsa Melayu dan Banjar yang rata-ratanya pandai berenang terselamat dan sempat berenang ke Pulau Galagak. Kalau tidak, pastinya sesama Islam bakal bertempur di Sungai Manik. Sesungguhnya Allah lagi Maha Mengetahui.

Berita yang melemahkan perjuangan PKM , ranapnya pejuang mereka di Sungai Manik di tangan Warga Banjar Sungai Manik di bawah pimpinan Masmuda, panglima Selendang Merah Batu Pahat, Johor. Dalam pada itu, ramai orang Melayu dan Banjar di Balun Bidai, Kampung Gajah dan kampung-kampung berhampiran memilih untuk lari ke dalam hutan meninggalkan rumah masing-masing kerana komunis semakin mengganas, menembak rumah membabi buta. Mengamuk kononya. Untuk apa melepaskan geram terhadap mereka yang tak tahu menahu! Lain pula ceritanya dengan kaum Cina yang menghuni kawasan sekitar. Hampir semuanya menyokong perjuangan PKM, dan kerana itulah mereka tidak diganggu. Tuan Guru Haji Bakri, Acil dan Emoh selamat menyeberang Sungai Kinta dan sampai di Kampung Changkat, Bayas, Balun Bidai. Sungguh tidak disangka rupanya Warga Banjar Sungai Manik di situ tidak juga kurang keberanian mereka.

Acil pula dilantik sebagai Khalifah surau Changkat Bayas, markas pejuang Sabilullah di Balun Bidai. Selendang dan tanjak merah yang dibawa dari Sungai Manik diagih-agihkan sehelai seorang. Pun begitu, sekiranya ada yang memiliki ‘wafak’ sendiri, mereka dibenarkan memakainya. Begitulah cara orang Banjar , walau setinggi mana pun ilmu sendiri, namun ilmu orang lain tetap dihormati. Mencerca menghina kebolehan orang lain bukan Banjar namanya.

Perang berkecamuk di Kampung Gajah, Perak


Siang malam kedengaran bunyi tembakan di pinggir Balun Bidai, entah apa yang mereka tembak tidak pula diketahui. Membunuh dan menyiksa orang, itu sajalah kerja mereka. Setengahnya bertujuan menakutkan, kononnya komunis masih lagi kuat walaupun sudah tewas di Sungai Manik. Pada mulanya hampir tujuh puluh orang Warga Banjar Sungai Manik yang sanggup turut serta sebagai pejuang Sabilullah. Yang penakut dibenarkan tinggal mengawasi anak isteri mereka yang bakal pergi menyerang markas PKM di
tebing Balun Bidai. Tuan Guru Haji Bakri tetap seperti biasa , bersendirian berzikir dan membaca ayat-ayat di surau. Sampai saat dan ketikanya, pergilah para pejuang menuju sarang komunis di tebing Balun Bidai.

Lailahaillallah… Allahuakbar!!!” Maka bermulalah perang sabil di daerah Kampung Gajah, Perak.

Khalifah Acil yang masih muda sudah berbulan lamanya menentang musuh di Sungai Manik. Boleh dikatakan setiap kali pergi berjuang, darah musuh sampai kering di badan. Medan pertempuran dibuatnya seperti padang permainan. Degil, menari menahan tembakan komunis membuat musuh semakin geram. Ditembak tak langsung memberi bekas. Musuh semakin menghampiri para pejuang Sabilullah.

“Timpasss!!!” (tetak) ujar si Acil berteriak. Apa lagi, parang bungkol terus mandi darah.

Peperangan di Balun Bidai melahirkan seorang lagi wira Banjar bernama Mawi, pemilik parang bungkol bergelar si Kajang Rungkup. Kalau berhadapan musuh, dia tidak teragak-agak untuk menerkam dan menyembelih, seperti menyembelih leher lembu. Yang menghairankan, musuh yang sudah kena terkam langsung jadi lemah tak bermaya untuk melawan. Itulah keajaiban parang bungkol si Kajang Rungkup.

Setelah berakhir perang di Balun Bidai, Acil diberi gelaran “Acil Wani” (Acil Berani). Sebut saja nama Acil, seluruh Warga Banjar Sungai Manik kenal padanya. Bela bukan sebarang bela, bela ada muslihat . Warga Cina yang ramai bermastautin disetiap pelosok Kampung Gajah sudah mula mencebik bila bertemu orang Melayu.

Adatlah bagi penjahat dan Gengster seruan perkauman digunakan bagi membela kejahatan mereka! “Wahai kaumku, perang sabil sengaja diolah oleh orang Melayu yang banyak menjurus kepada perkauman. Mereka merancang untuk menghapuskan bangsa Cina seluruh Tanah Melayu, itulah tujuan sebenarnya. Tergamakkah tuan-tuan membiarkan bangsa sendiri hancur lebur dipijak-pijak orang Melayu? Tentunya kalian tidak sanggup. Nah apa lagi yang ditunggu, jom kita bersatu, kita tentang sampai ketitisan darah terakhir!” begitulah bunyinya kempen PKM setiap kali bertemu orang Cina di Kampung Gajah. Mereka yang sudah rasa terhutang budi kerana selama ini dilindungi, dijaga sebaiknya oleh PKM akhirnya bersetuju berjuang demi bangsa dan agama mereka.

Orang Cina tidak dapat melihat muslihat di sebalik kemanisan kata-kata PKM, memperbodoh orang Cina untuk kepentingan sendiri dengan melagakan Cina dengan Melayu. Betapa tidak, sudah banyak pengganas komunis kecundang di tangan pejuang Banjar.
Orang Cina mula menghimpunkan serba serbi keperluan, parang besar, parang bengkok, kayu pengandar tempinis seadanya dengan tujuan untuk berperang. Sekiranya terserempak dengan orang Melayu, tak kira kecil atau besar bakal habislah mereka kerjakan.

Pertemuan secara berdepan antara pejuang Sabilullah dengan orang Cina dan pengganas komunis di pinggir Kampung Sungai Galah tidak kurang jua sengitnya dibandingkan dengan yang sebelumnya. Lenguh tangan Warga Banjar Sungai Manik kerana terlalu pantas mengayun parang bungkol. Baju dan seluar basah kuyup dengan darah. Mayat musuh bergelimpangan di sana sini,
namun jumlah mereka masih belum berkurangan, malah semakin ramai. “Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!!!” Jerit si Acil tiga kali sebagai isyarat supaya berundur seketika untuk menghilangkan penat dan membuat strategi lain.

Melihat pejuang Sabilullah mula berundur, warga Cina riuh mangajuk hina zikir Lailahailallah. “Lailahailalit… Malayu kasi habit!!!” Mereka merasakan sudah beroleh kemenangan. Mendengar zikir dipermainkan, Mawi si Kajang Rungkup hilang sabar. Serta merta dia berpatah balik mengejar musuh. Sayang, hajatnya untuk menerkam tak kesampaian. Bertalu-talu peluru Bren Gun komunis
hinggap ke badan. Huyung hayang Mawi lalu rebah.

“Habislah Mawi!!!” Semua Warga Banjar Sungai Manik yang melihat terasa sedih. Tak sampai 10 minit berselang, Mawi yang bergolek kesakitan di atas tanah bingkas bangun.
“Mati aku, mati aku, mati aku!” Ujar Mawi yang berlari anak balik ke kumpulan, sambil mengibas membuang peluru yang sudah leper yang melekat penuh seluruh badan. Mawi yang disangka sudah mati rupanya masih hidup.

“Bah rasa berbahang Cil … hampir terbakar aku abang Emoh ai!” Ujar Mawi mengadu. Khalifah Acil ketawa terbahak-bahak, tidak dapat menahan kelucuan teringat karenah Mawi. Senyum meleret si Emoh sambil mengipas Mawi yang sedang kepanasan, tetapi masih lagi boleh bergurau. Begitulah karenah orang Banjar. Mawi, kalau belum sampai ajal sememangnya kebal. Bukan sekali dua dia bakipuh begini.

Masa bertugas sebagai Home Guard mengiringi tuan lombong orang Inggeris Changkat Tin, dia pernah diserang hendap oleh Bintang Tiga ketika sedang menaiki Loko. Terpandang tuan orang Inggeris yang sudah mati terkena tembakan, Mawi melepaskan raifel di tangan lalu mengejar komunis dengan parang bungkol. 5 orang pengganas maut ditetak dengan Kajang Rungkup.

Hari semakin lewat, para pejuang Sabilullah terpaksa meninggalkan medan perjuangan kerana masa dan ketika untuk berhenti sudah pun tiba. Musuh masih riuh berteriak mengajak berlawan tanda tidak puas hati, tetapi setelah tak dilayan, mereka pun senyap. Mawi yang masih sakit seluruh badan ditandu balik.

Sementara itu, orang Melayu dari Kampung Gajah berduyun-duyun datang menemui Tuan Guru Haji Bakri di surau Changkat Bayas. Tak sampai sepuluh orang yang sempat memperoleh selendang merah kerana itu sajalah baki yang ada. Walau bagaimana pun, semuanya diberi minum air perangsang dan diberi amanat , kalau boleh, hapuskan saki baki dan zuriat komunis di Kampung Gajah.

Memang menjadi, tak sia-sia pemberian Tuan Guru. Tak sempat menunggu esok sudah riuh dan gempar orang Melayu menyerang orang Cina di Kampung Gajah. Di mana saja terdapat kediaman mereka, habis dimusnahkan. Orang Melayu di Kampung Gajah sudah jadi berani setelah menuntut ilmu orang Banjar , angkara Ali Amin yang memperdagangkan ilmu kepada orang Melayu. Ali Amin, kerana tak mahu bekerja seperti orang lain, bila tak berduit, ilmu dijualnya. Hampir tercetus pergaduhan dimarahi Acil dan Emoh. Oleh kerana malu, akhirnya dia meninggalkan Balun Bidai, dan terus hilang tanpa berita.

Sudah tiga hari para pejuang Sabilullah merehatkan badan. Esok pagi bakal bermula perjuangan baru menyerang musuh di pinggir Kampung Sungai Galah. Menurut firasat Tuan Guru Hj Bakri, peperangan esok mungkin yang terakhir. Para pejuang memujuk Mawi supaya jangan turut serta kerana masih belum sihat sepenuhnya. Tapi orang yang keras hati sepertinya tak makan pujuk.
“Kenapa gerangan, penakut benarkah aku ni?” Ujarnya dengan nada marah.
Sepetang suntuk Mawi bersilat memantapkan langkah 12 (seni silat orang Banjar), dengan tujuan untuk menerkam bersungguh-sungguh agaknya. Serba salah, kalau ditinggal, mahu saja menonong mengikuti dari belakang seorang diri. Selepas dibenarkan barulah dia senyap.

Zikir Lailahaillallah tak berhenti-henti, musuh yang sudah bersedia menanti begitu ramai.

“Fisabilullah Allahuakbar!!!” Laung Khalifah Acil sambil berlari di hadapan menghampiri musuh. Kelentungan senjata berlaga. Orang Cina pun apa kurangnya , bermacam kebolehan dan kemahiran dipamer dalam perjuangan penentuan antara hidup dan mati.
Sedang rancak bertarung, orang Cina terpinga-pinga kerana dengan tiba tiba kelibat orang Banjar sudah tidak kelihatan. Pengganas komunis yang bijak bersembunyi di merata penjuru mula keluar dari tempat persembunyian untuk mengejar dan mencari pejuang-pejuang Banjar.

Hilai ketawa mereka membayangkan seperti sudah mencapai kemenangan. Namun, kegembiraan mereka cuma sementara. Sungguh tak disangka, tiba-tiba parang bungkol berterbangan sendirian macam air hujan menetak, melibas dan menikam hingga tak dapat dielak. Banjir Kampung Sungai Galah dengan darah. Lintang pukang pengganas komunis lari menghala ke hutan Tambun. Tidak boleh ditunggu lagi kerana ‘lailahailait’ Cina sudah potong habis.

Bagaimana parang boleh terbang sendiri kalau tak ada kudrat dan iradat yang mengarahkan. Sebenarnya orang Banjar jua yang bersungguh sungguh menetak, cumanya mereka tidak kelihatan kerana sudah berada di alimul (alam) ghaib.

Keberanian orang Banjar turut menaikkan semangat orang Melayu di merata tempat. Perkampungan Cina di sepanjang Sungai Perak dan Chenderong Balai ranap dibakar dik dendam orang Melayu yang sudah lama menderita ditindas komunis. Selepas itu barulah tentera upahan British bangsa Punjab tiba untuk mengamankan Sungai Manik dan Kampung Gajah. Sejak itu, tidak ada lagi orang Cina di Kampung Gajah. Saki baki pengganas komunis yang masih hidup lari ke dalam hutan. (Tuan Guru Haji Bakri, 57 tahun kembali ke Rahmatullah di Mekah tanggal 26 September 1950. Jasadnya disemadikan di Perkuburan Ma’ala, Mekah )


Semoga Amal mereka diterima dan berbahagia mereka di sana!

sumber yang disalin dan diolah semula : http://warkahzaman.blogspot.com/2013/12/kisah-benar-sungai-manik-bermandi-darah.html

4 ulasan:

  1. SAYA COPY & PASTE RENCANA INI BAGI KEGUNAAN RUJUKAN DAN SIMPANAN PERIBADI SAHAJA.

    BalasPadam
    Balasan
    1. sebarkan bantu kami menyebarkan dengan kos jika sudi

      Padam
  2. Assalamualaikum...sy meminati sejarah perang di sg manik,perak ini.
    Mohon dikongsi,jika dibenarkan....aruah ayah pun terlibat dlm perjuangan
    menentang komunis di langkap [ 1950 hingga 1960 ]

    BalasPadam
    Balasan
    1. teruskan semoga jadi amal jariah berterusan buat saudara

      Padam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Tarikh hari ini

slow connection? click here