Sabtu, 10 Mei 2008

Pengumuman PM ke 5 pada hari pekerja

Had umur persaraan wajib kakitangan awam dilanjutkan dari 56 kepada 58 tahun mulai 1 Julai 2008, demikian diumumkan oleh perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad hari ini.

Di samping itu, beliau juga mengumumkan langkah menghitung pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun, menghapuskan syarat penyusutan pencen terbitan dan menambah baik Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dari segi kaedah pelaksanaannya.

Menurutnya, keputusan melanjutkan umur persaraan wajib itu dibuat setelah kerajaan mengambil kira kadar jangka hayat di kalangan rakyat negara ini dan berdasarkan kajian bahawa pelaksanaannya tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan graduan baru.

"Ini adalah penting agar penjawat awam generasi baru tidak merasakan peluang mereka untuk maju dalam kerjaya mereka semakin tipis, malahan sebaliknya ia akan bertambah," katanya pada sambutan Hari Pekerja Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata kerajaan bersetuju untuk menghapuskan syarat penyusutan pencen terbitan mulai 1 Januari 2009.

Ini bermakna pencen terbitan akan dibayar 100 peratus kepada ahli keluarga gemulah.

Abdullah berkata perkiraan pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun bagi semua pesara dan penerima pencen akan berkuatkuasa 1 Januari 2009.

Pelaksanaan PTK

Sebelum ini pencen pegawai perkhidmatan awam dihitung dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 25 tahun.

Mengenai PTK, perdana menteri berkata, sebenarnya sejak tahun 2003,
kerajaan telah menambah baik kaedah pelaksanaannya termasuk menambah kekerapan pelaksanaannya agar urusan pengembangan kerjaya pegawai dapat dipercepatkan.

Beliau berkata tahun ini, kerajaan telah bersetuju membuat beberapa penambahbaikan lagi seperti;

+ Bagi pegawai Gred 1 hingga Gred 16, kaedah ujian bertulis tidak akan digunakan untuk PTK. Lembaga penilaian kompetensi kementerian, negeri dan
agensi akan menentukan kaedah lain sebagai ganti; dan.

+ bagi pegawai-pegawai gred-gred lain, kaedah yang sedang dilaksanakan juga akan dikaji semula dan dilaksanakan secara berperingkat.

Mengenai pencen terbitan, Abdullah berkata, kini satu daripada syarat pencen terbitan yang dibayar kepada ahli keluarga gemulah ialah kadarnya akan disusut kepada 70 peratus selepas 12 1/2 tahun dari tarikh persaraan atau kematian dalam perkhidmatan anggota sektor awam.

"Berdasarkan kajian terperinci, bagi keluarga yang mempunyai anak kecil semasa kematian gemulah, syarat ini agak membebankan dari segi kewangan. Untuk mengurangkan beban ini, kerajaan telah bersetuju untuk menghapuskan syarat penyusutan pencen terbitan ini mulai 1 Januari 2009.

Belanja tambahan

"Ini bermakna pencen terbitan ini akan dibayar 100 peratus kepada ahli keluarga," katanya.

Abdullah, yang juga Menteri Kewangan, berkata formula menghitung pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun,
juga meliputi persaraan dan kematian dalam perkhidmatan sebelum tarikh berkuatkuasa.

Bagaimanapun, katanya, kadar pencen yang dihitung semula akan hanya diberi mulai 1 Januari 2009 tanpa bayaran tunggakan.

"Kedua-dua dasar baru mengenai pencen ini akan menelan belanja tambahan sebanyak RM718 juta setahun dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 310,000
pesara dan penerima pencen," katanya.

Abdullah berkata kerajaan juga telah bersetuju bahawa ibu atau bapa pegawai yang meninggal dunia tanpa meninggalkan waris akan dibayar pemberian sekali atau ex-gratia dan bukan pencen terbitan.

Bagi tuntutan-tuntutan lain yang dikemukakan oleh Cuepacs, termasuk semakan semula kadar imbuhan tetap perumahan atau penyerapan masuk kakitangan kontrak
sebagai kakitangan awam, ianya masih dalam penelitian kerajaan dan keputusannya akan diumumkan tidak lewat dari pembentangan Belanjawan Negara 2009, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Tarikh hari ini

slow connection? click here