Selasa, 8 April 2008

menentukan jantina bayi berdasarkan fakta sains

Asal Usul Babi

Asal usul babi menurut dongengan melayu.

Dongengan ini adalah disampaikan secara lisan ke lisan oleh segelintir orang melayu di Perak. Didapati majoriti masyarakat melayu tidak mengetahui dongengan ini. Mungkin ia adalah bertentangan dengan ajaran Agama Islam dan tidak memberi manfaat untuk disebarkan. Tetapi saya merasakan perlu disimpan dalam bentuk penulisan agar ia menjadi salah satu khazanah kreativiti minda nenek moyang dalam berkarya. Anggap sahaja ia sebagai seni hiburan ringan bukan sesuatu yang kompleks untuk difahami atau dihayati.

Kononnya ceritanya pada zaman yang sangat lampau adalah seorang manusia Bernama Celen Bahavi yang diberi wajah yang cantik dan berpenampilan yang berdaya penarik dan kemewahan dunia yang melimpah. Malahan dirajai oleh masyarakat sekelilingnya.

Asalnya ia lahir dari keturunan yang menjaga budi dan sembahan pada Sang Hyang Esa. Keturunan yang bersih dari sekutu segala ciptaan Sang Hyang Esa.

Oleh kerana diberi kelebihan sebegitu, maka bebaslah ia bersenang-senang makan manis manisan dan melampias nafsu dengan segala wanita yang senang dengannya. Sehingga ia lupa untuk memuji menyembah Sang Hyang Esa sebagaimana kelakuan keturunan turun temurun selaku keturunan mulia yang memelihara dari sebarang penyekutuan. Sehinggalah datangnya padanya satu keteguran oleh Sang Utusan

“Sesungguhnya Tuhanmu tidak memerlukanmu tapi kamulah memerlukan Tuhan.
Sama sahaja jika kamu terus lalai melakukan kerosakan atau tekun berbudi sesama manusia dan memuja keesaan dan keagongan tuhan, sama sekali tidak akan memberi faedah kepada tuhan yang Esa. Tunggal dan tiada tandingan tanpa kebergantungan. Malahan kamulah yang mendapat faedah. Janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Melampaui batas itu satu kebencian Penciptamu.”

Lalu terpinga-pinga hatinya kenapa sang utusan berkata-kata sedemikian yang sama seperti petikan dari kata-kata nenek moyang yang tercatat dalam lampiran kulit kulit kambing yang kering dan juga atas dedaunan daun lontar yang biasa dibacakan oleh arwah ibu bapanya ketika memuja Sang Hyang Esa.

“Wahai Si utusan! Jika tuhan tidak memerlukanku mengapa disuruh aku ini berbudi. Aku amat memerlukan nikmat dunia yang dianugerahiNya padaku. Benarkan aku menikmatinya tanpa memujanya” jawab Bahavi dengan angkuh!

Lalu Sang Utusan menjawab “ wahai Celen Bahavi, Demi namamu yang mulia (pencabar Kepalsuan)” demi nama keturunanmu yang mulia, yang berbudi berbakti pada rakyat jelata. Kesenangan dunia hanyalah seketika, kita manusia (pengikut-pengikut manu atau imam nuh) diberi sebagai kelebihan sebagai makhluk berakal yang mulia bersama tanggungjawab yang mulia janganlah kerana kesenangan permainan dunia, maka tertipu melupakan kehidupan yang kekal abadi.”

“Aku tak ingin pada sesuatu yang tidak pasti! Malahan aku tidak pernah meminta lahir ke dunia. Maka kenapa harus aku melakukan sesuatu yang menyusahkan. Aku tahu apa yang aku perlu. Kenapa harus ada keberatan di hati. Aku lebih rela menjadi sehina-hina makhluk ciptaannya asalkan aku boleh terus menikmati kesenangan kesenangan di dunia. Mintalah pada tuhanmu. Aku sedikitpun tidak mengharap kehidupan sebenar yang kekal abadi sehingga terpaksa meninggalkan sesaat kesenangan-kesenangan yang sedang ku kecapi” jawab Celen Bahavi sambil mencampak bekas najis kepada sang utusan. (kerana terlalu asyik dengan kesenangan sehingga malas hendak ke tandas akibat mendapat bala penyakit kerap kencing kerana makan secara berlebihan)

Sang utusan tidak berputus asa. Berterusan menyampaikan nasihat-nasihat agar mereka pengikut-pengikut Celen Bahavi yang asyik hidup dalam pesta yang penuh kerosakan supaya meninggalkan cara hidup sebegitu dan kembali memuja Sang Hyang Esa dan hidup cara seimbang. Sehinggalah suatu masa, permintaan mereka yang kononnya memohon agar dijadikan sehina-hina makhluk asalkan perlakuan makan mengikut nafsu dan bebas berzina sesama mereka dapat dikekalkan ditunaikan tuhan.

Maka dengan kehendak Sang hyang Esa Dewata Raya, maka bertukarlah mereka menjadi makhluk sehina-hinanya yang mendongakkan hidung kerana kesombongan dan diharamkan kita sebagai pengikut manu (imam nuh) memakan mereka. Maka diberi bentuk tengkuk yang besar agar menjadi tanda tidak boleh dimakan dagingnya kerana dari jenis manusia asalnya. Tetapi konon dongengannya di masa akan datang akan di ambil menjadi ubat penawar darurat sementara buat mereka mengamalkan tabiat seperti Celen Bahavi iaitu penyakit kencing manis melalui pencerna zat yang terdapat pada hati dan hempedu pengikut Celen Bahavi.

Binatang yang dimaksudkan ialah Babi atau khinzir.

Terjermahan adalah bebas. Mungkin terdapat kesalahan makna dan tafsir jalan cerita akibat kelemahan penulis dalam membuat penterjermahan. Terdapat tokok tambah menurut kefahaman penulis agar maksud sebenar jalan cerita disampaikan.

Ahad, 6 April 2008

kematian yang pasti


Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan ujud
cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan
kepekaan kita kepada tanda-tanda ini. Rasulallah SAW diriwayatkan masih mampu
memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara lansung akan
kesukaran menghadapi sakaratul maut dari awal hinggalah akhirnya hayat
Baginda. Imam Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini
sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratulmaut
secara sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan
termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai
bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam
Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika Imam
Ahmad bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya. Adapun riwayat -
riwayat ni memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT tidak pernah
berlaku zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk
menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam
perjalanan menghadap Allah SWT. Walaubagaimanapun semua tanda-tanda ini akan
berlaku kepada orang-orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu
orang yang menyekutukan Allah nyawa mereka ini akan terus di rentap tanpa
sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT.

Adapun tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan :

Tanda 100 hari sebelum hari mati.

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya
akan disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya.
Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar.
Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami
getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang
baru disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan
mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan
bagi mereka sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda
mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan
kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka
yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan
lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan
kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan
masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan
dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat
kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita
akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka
malaikatmaut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas
kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan
terjadi malaikatmaut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan
jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan
bingung seketika. Adapun malaikatmaut ini wujudnya cuma seorang tetapi
kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang
akan dicabutnya.

Tanda 7 hari

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji
dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara
tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita
iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka
berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis
dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.
Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang
sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika
kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana
bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang
terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari
Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu
denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini
menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda akhir

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan
sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya
akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah
syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk
menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan
sekarang akan mematikan pula.

PENUTUP

Sesungguhnya marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT
semuga kita adalah di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang
akan diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini semoga kita
dapat membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan samada
dari Allah SWT mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan
hutang piutang kita. Walau bagaimanapun sesuai dengan sifat Allah SWT yang maha
berkuasa lagi pemurah lagi maha mengasihani maka diriwatkan bahawa tarikh
mati seseorang manusia itu masih boleh diubah dengan amalan doa iaitu
samada doa dari kita sendiri ataupun doa dari orang lain. Namun ianya adalah
ketentuan Allah SWT semata-mata.

Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semuga kita
diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan masa dan
kesihatan tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari
keredhaan AllahSWT samada di dunia mahupun akhirat.
Bacalah kandungan ini agar dapat menjadi ingatan kita semua.
Insyallah mulalah bertobat, yang masih malas sembahyang ubah sikap umur kita
semakin hari semakin meningkat. Biar sesal dahulu jangan sesal kemudian.
Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan berharap saudara saya semua
begitu juga. Cubalah kita ingat mengingat sesama kita selagi mampu.

melihat buah pinggang melalui kencing


Air kencing adalah bahan kotoran yang keluar daripada hasil tapisan
buah pinggang. Jika banyak protein tercicir keluar dari buah pinggang,
air kencing menjadi keruh dan kelihatan berbuih.

Protein biasanya tidak keluar dari buah pinggang kecuali sistem
penapisan buah pinggang terganggu seperti keradangan sistem penapisan
yang dikenali sebagai glomerulitis atau glomerulonephritis.

Masalah kesihatan dapat dikesan daripada air kencing. Pada zaman dulu,
pakar perubatan mengenali kencing manis dengan membiarkan air kencing
di lantai dan meneliti jika ada semut, ia memberi gambaran kandungan
glukosa tinggi dalam air kencing.

Kadangkala air kencing dirasa atau dicium untuk mengenali penyakit
tertentu saperti takungan `ketones' hasil daripada metabolisme lemah
untuk tenaga jika glukosa tidak dapat digunakan badan. Bau `ketones'
wangi dan rasanya juga manis.

Isnin, 24 Mac 2008

Saiidatul Iman Sebut Alif Ba ta



Hari ini genap Saiidatul Iman 3 tahun, 24 Mac 2008. video ini adalah kesan hasil aku kerap dengarkan lagu nyanyian alif ba ta melalui medium VCD dengan menggunakan suara sendiri. http://www.metacafe.com/watch/552842/

Kesannya jelas beliau dapat mengingati beberapa huruf arab dengan baik. bacaan Alif ba Ta ini adalah ketika dia berusia 2 tahun. dengan pelat budak 2 tahun dia boleh dalam 80 % menyebut dan mengenal huruf2 tersebut.

tips buat duit utk w wanita

KUALA LUMPUR: Bijak menggoda dengan kata membangkit ghairah adalah
senjata digunakan seorang gadis untuk memerangkap segelintir lelaki
supaya akur pada pujukannya membuka seluar dalam sebelum gambar bogel
mangsa dijadikan modal aktiviti peras ugut.

Gadis berkenaan yang mencari mangsa di dalam laman kenalan di
internet akan menggunakan taktik licik supaya mangsa rela berbogel
dan dirakam melalui kamera web.

Gambar bogel mangsa golongan lelaki dijadikan `alat' meminta wang
tebusan daripada mangsa yang bimbang sekiranya klip video memalukan
itu tersebar kepada orang ramai.

Dalam kes terbaru semalam, seorang penasihat kewangan yang mahu
dikenali sebagai Alexandra, 25, menjadi mangsa hanya selepas sejam
berkenalan dengan gadis berkenaan melalui laman web.
Mangsa yang ditemui semalam berkata, dalam kejadian jam 5.30 pagi itu
dia yang baru pulang dari rumah seorang rakan melayari laman Internet
bagi mencari rakan yang boleh diajak `bersembang' .

Menurutnya, dia kemudian berkenalan dengan seorang pelayar internet
yang mendakwa dirinya sebagai seorang gadis dengan nama samaran Jean.

"Bagaimanapun selepas beberapa minit `bersembang' melalui laman web
terbabit, Jean memberitahu nama sebenarnya Lisa.

"Pada peringkat awal, kami sekadar bersembang melalui internet
berhubung soal peribadi dan kerjaya. Perbualan kami menyimpang ke
arah topik `panas' apabila Lisa seolah-olah merangsang minat saya ke
arah topik seks," katanya.

Menurutnya, Lisa kemudian membuat `permintaan' memeranjatkan apabila
merayu dia membuka seluar dalamnya serta berbogel.

Alexandra berkata, gadis itu menggunakan kata-kata pujukan lucah
kononnya dia teringin menatap `barang' lelaki.

"Dia meminta saya berdiri di hadapan kamera web yang dipasang pada
komputer saya bagi membolehkan aksi saya itu turut ditonton menerusi
Internet.

"Saya yang ketika itu dalam keadaan khayal selepas mengambil minuman
keras menurunkan seluar dalam sebelum menunjukkan alat sulit saya ke
arah kamera web dipasang," katanya.

Menurutnya, kira-kira 15 minit kemudian, Lisa menghantar dua klip
video melalui Internet kepadanya yang mengandungi babak aksi dirinya
sendiri sedang berbogel sebelum ini.

"Tidak sampai tiga jam kemudian, saya mula menerima SMS dari Lisa
mengugut menyebarkan klip video itu ke Internet bagi tatapan umum.

"SMS itu menyebabkan saya terkejut dan cemas kerana bimbang Lisa
memalukan saya dan keluarga," katanya.

Menurutnya, Lisa menghantar beberapa SMS lagi yang memintanya
membayar RM1,800 sebagai `tebusan' sekiranya enggan gambar bogelnya
didedahkan.

"Saya yang terdesak membayar wang itu melalui pemindahan wang dari
dalam akaun bank sekitar jam 10.20 pagi. Pada masa sama Lisa
mengarahkannya memasukkan tambah nilai talian prabayar ke telefon
bimbitnya berjumlah RM30.

"Malangnya, Lisa yang menerima bayaran wang ugutan itu menyebarkan
gambar bogel saya dalam Internet menyebabkan saya mengalami tekanan
perasaan akibat malu," katanya yang sudah membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior
Asisten Komisioner II Ku Chin Wah, memberitahu akan menyiasat kes
peras ugut berkenaan

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong berkata, kes
seumpama itu kerap berlaku berdasarkan lima kes sepanjang tahun lalu.

Jumaat, 7 Mac 2008

Adi Putra dan kelebihannya bagaikan biasa je.


SAYA pertama kali bertemu Adi Putra pada November 2005 di rumah datuknya di Tanjung Malim, Perak. Dalam pertemuan itu, Adi Putra telah menyelesaikan masalah darab matematik sepantas empat saat, sedangkan saya baru separuh jalan menekan punat nombor kalkulator. Adi baru berusia enam tahun ketika itu.
Saya juga terkejut dengan kepantasan Adi Putra mencongak, beberapa kiraan pendaraban yang lain seperti ribu dengan ribu, pengiraan isi padu silinder, pecahan dan perpuluhan di atas. Dalam diam, saya mengagumi kepintaran Adi Putra dan sekali sekala berasa diri saya kerdil di hadapannya.
Dua tahun kemudian, minggu ini, saya teruja lagi dengan pemilik wajah comel ini - Adi Putra dikatakan memiliki kelebihan lain selain matematik iaitu apa yang dipanggil deria keenam atau gerak hati.
Ahad lepas, Adi Putra berkunjung ke rumah keluarga Sharlinie Mohd Nashar, 5, yang hilang di Taman Medan, Petaling Jaya, sejak 9 Januari lalu. Menurut Adi Putra, beliau sedang cuba mencari Sharlinie menggunakan 'caranya'.
Ketika lawatannya, Adi Putra turut memberikan formula berbentuk pil bagi menenangkan perasaan ibu dan bapa Sharlinie selain pergi ke padang tempat Sharlinie dilihat sebelum kehilangannya.
Kemudian, Adi Putra membawa sekumpulan anggota polis ke Ulu Yam, Gombak selepas mendapat petunjuk Sharlinie pernah berada di situ. Walaupun, kecewa kerana hanya mendapat jejak kosong, penemuan satu tulisan bertulis 'media' di atas tanah memang mengejutkan. Ia dikatakan ditulis oleh penculik terbabit yang marahkan pihak media.
Menurut bapanya, Abdul Ghani Abdul Wahid, 49, sebenarnya ini bukanlah bantuan pertama yang diberikan oleh Adi Putra berkaitan orang hilang.

"Pernah sekali seorang kanak-kanak dipercayai lemas sudah 18 hari tidak ditemui. Keluarganya datang pun untuk minta tolong kalau-kalau boleh diberi petunjuk walaupun hanya untuk dapatkan tulang anaknya.
"Kami turun sendiri ke kampung mangsa untuk mencari. Bayangkan kami mencari di sebatang sungai dari tengah malam sampai pukul 5 pagi. Kemudian Adi Putra ajak balik. Sekitar pukul 7 pagi, keluarga mangsa telefon memberitahu mereka sudah menemui mayatnya dan ia masih dalam keadaan baik," cerita Abdul Ghani.

Akui beliau, Adi Putra tidak mahu menemui mayat mangsa secara terus kerana tidak suka mendabik dada. "Adi Putra usahakan dan biarkan orang lain yang temui, jadi orang tidak terlalu mengaitkannya dengan Adi Putra," katanya.

Dan Khamis lalu, saya berpeluang berbual santai dengan Adi Putra untuk menyelami kepintaran matematiknya dan bagaimana anak kecil ini melihat dunia. Saya juga ingin memahami sisi lain seorang Adi Putra.

Saya dibenarkan menemu bual Adi Putra secara bersendirian tanpa ditemani ibu bapanya - sesuatu yang jarang diperoleh media lain.


"KASIH ibu. Serihana Elias dan suami terus mencari formula terbaik untuk membesarkan anak genius mereka."

--------------------------------------------------------------------------------


Sepanjang temu bual itu, sambil mulutnya semakin lancar menjawab soalan saya (berbanding dua tahun lalu dia lebih pendiam), tangannya juga pantas menekan punat permainan video.

Dan sebelum saya pulang, Adi Putra sempat berpesan: "Untuk abang, Adi nasihatkan baca Alam Nasyrah (surah al-Insyirah) setiap hari."

Saya tanya kenapa surah itu? Jawab Adi: "Untuk rezeki abang."
Dan untuk kesekian kalinya, saya melihat keistimewaan Adi Putra dan ia sukar diterangkan.

Selebihnya, Adi Putra seperti kanak-kanak sebayanya - makan KFC, gemar menonton siri kartun Naruto, menunggang motosikal mini dan meminati penyanyi Adam AF2.

EKSTRA!: Dari mana Adi Putra dapat ilham mencipta Sajak Akulah Adi Putra, Anak Merdeka?
ADI PUTRA: Maksudnya, masa Adi buat apa ya? Adi dapat sebelum tidur. Dalam pukul 3 atau 4 pagi.
Macam mana boleh terfikir?
Tak tahu, tiba-tiba terlintas dalam fikiran. Adi karang dan ambil masa dua hari.

Dalam sajak itu Adi mengajak bangsa kita bangunkan negara dengan bertemankan surah Yasin dan matematik. Kenapa surah Yasin dan matematik?
Sebab matematik itu tunjang ilmu dan Yasin pula untuk penerang hati.

Adi baru berusia sembilan tahun tapi ada banyak maklumat yang Adi tahu selain matematik. Dari mana Adi tahu semua itu? Adi membaca buku atau ada orang yang ajar?
Ilham. Datang tiba-tiba. Dan ia muncul tengah malam atau awal pagi. Contohnya, Adi fikir-fikir tentang benda tu, tiba-tiba ia datang. Apa yang Adi hajat, ia sampai dalam beberapa saat atau minit. Bukan datang dari mimpi.

Adi tidak ke sekolah sekarang. Apa yang Adi buat setiap hari?
Pagi-pagi lepas mandi, Adi biasanya suka main permainan video. Petang ada kelas tahfiz dan bahasa Inggeris. Lepas itu, Adi main badminton atau naik motosikal kecil.

Adi kata masa di sekolah dulu (Sekolah Islam Antarabangsa, Gombak) Adi macam 'kereta Ferrari yang dibawa seperti kereta kancil'. Sebab apa Adi kata macam tu?
Otak Adi ni, diibaratnya macam kereta Ferrari. Tetapi dibuatnya macam budak darjah satu. Maka rosaklah otak Adi. Dekat Malaysia ni bukannya ada orang yang boleh repair otak Adi. Perumpamaan tu memang Adi terfikir macam tu jelah.

Adi banyak cipta formula matematik, apa lagi formula yang Adi nak cipta selepas ini?
200 lebih (formula matematik) sudah ada sekarang. Insya-Allah kalau ada lagi yang terbaru Adi akan tambah.

Apa yang ingin Adi cipta bila besar nanti?
Insya-Allah Adi akan cipta dua jenis satelit. Satu satelit angkasa dan dua satelit bumi untuk negara-negara Islam sahaja dengan menggunakan password al-Quran. Satu kita guna alif, dua kita gunakan ba, tiga kita gunakan ta.

Kenapa Adi suka cipta formula pada waktu tengah malam?
Ilham datang waktu itu.

Apa permainan komputer dan video kesukaan Adi?
Counter Strike, game tembak-tembak...Ada juga main game Meet the Robinsons.

Bila besar Adi nak jadi apa?
Adi nak jadi profesor matematik Islam.

Adi tahu Adi terkenal sekarang?
Tahu juga. Adi tahu sebab ada orang tegur, baca paper dan tengok TV. Tapi paling banyak orang tegur la. Yang tegur ada tua dan muda.

Adi selalu jumpa bermacam-macam orang termasuk menteri dan sultan. Adi tak takut jumpa mereka?
Tak sangat. Perasaan biasa saja. Tidak ada apa-apa yang Adi fikirkan. Biasa sahaja.

Ketika beri ceramah pada orang ramai masa seminar, Adi tak rasa gementar?
Tak gementar. Adi bagi seminar matematik untuk pelajar, guru dan usahawan.

Apa yang Adi Putra tahu tentang Sharlinie?Kenapa Adi nak tolong cari Sharlinie?
Sebabkan polis minta. Tapi mula-mula Adi baca surat khabar. Adi bagi tahu ayah, Adi hendak tolong.

Apa yang Adi nampak masa pergi rumah Sharlinie?
Adi nampak (Sharlinie). Tapi tak tahu lokasi betulnya. Adi fikir pasal dia, Adi doa dan tiba-tiba Adi terlintas (dalam hati). Masa tu Sharlinie tak buat apa-apa.

Adi tahu di mana Sharlinie sekarang?
(Adi diam. Dia terus bermain permainan video)

Ketika ke Ulu Yam bersama polis tempoh hari, Adi yakin Sharlinie pernah dibawa ke situ?
Tak tahu, tapi memang tempat tu yang terlintas di fikiran Adi.

Bagaimana Adi tahu? Adi ada dengar suara bisikan, nampak sesuatu atau ia tiba-tiba ada dalam hati?
Memang terfikir begitu. Perkara itu memang datang dalam fikiran. Macam ada benda juga yang bagi tahu dekat Adi.

Semasa memberi ubat pada ibu Sharlinie supaya dia berasa lebih tenang, apa yang Adi baca?
Adi dah buat air tu yang dibacakan dengan doa.

Doa apa?
Maaf, tak boleh Adi bagi tahu.

Adi boleh baca apa yang ada dalam fikiran orang?
Boleh juga. Melalui gerak hati Adi. Tengok badan orang tu, Adi boleh baca. Adi boleh terlintas (dalam hati) kalau ada orang datang dengan niat tak baik.
Adi tetap salam, jangan bersikap sombong. Cuma Adi berdoa pada Allah agar dia tak buat benda jahat.

Adakah letih menjadi seorang genius?
Tak letih dengan matematik, cuma letih selalu layan ramai orang. Tapi Adi syukur pada Allah.

Apa ucapan untuk ibu dan ayah?
Semoga panjang umur. Terima kasih sebab jaga Adi.

Sudah berapa banyak Adi hafal al-Quran?
Adi baru belajar tahfiz - Adi belajar mengaji dan hafaz sekali. Adi dah hafal lebih kurang 11 hingga 12 ayat dari surah al-Baqarah.

Tarikh hari ini

slow connection? click here