Print laman penuh!

Print Friendly and PDF

Wednesday, December 22, 2010

masalah org perempuan/wanita - keputihan

Walaupun kita ini lelaki tetapi dah berkahwin kenalah ambil tahu masalah wanita/perempuan kerana mereka sebahagian dari kita. Sememangnya masalah keputihan seringkali mengganggu kehidupan seorang wanita dan seterusnya buat kita lelaki tertanya-tanya kerana ia membuatkan wanita rasa tidak selesa, lembab, gatal, panas bahkan rasa ngilu pada kawasan kemaluan dan semua ini diserlahkan dengan mood mereka agak cepat letih, tidak bermaya dan agak emosional.

Apakah Maksudnya Dengan Keputihan?

Dalam bahasa mudahnya, keputihan adalah cairan/lendir yang keluar daripada liang peranakan/faraj selain daripada darah haid. Dalam bahasa perubatan, ia dikenali sebagai leucorrhoea atau fluor albus. search jer mende ini internet.

Maka bersepah gambo ni.

Dari Mana Datangnya Cairan/Lendir Keputihan Ini?

Cairan/lendir ini boleh berasal dari tiga sumber iaitu:
1. Sekitar mulut vagina
2. Selaput liang vagina
3. Selaput rongga rahim

Adakah Semua Cairan/Lendir Yang Keluar Daripada Liang Faraj Itu Normal?
Mudah aja jawapannya. Sudah tentu ada yang normal dan ada yang tidak normal.

Mari Kita Lihat Apa Yang Dimaksudkan Dengan Cairan/Lendir Normal

• Pengeluaran cairan/lendir pada kelenjar bibir faraj – dipengaruhi oleh rangsangan syahwat/berahi. Oleh kerana itu lendir ini akan meningkat jumlahnya dalam keadaan terangsang dan pada waktu berlakunya persetubuhan.

• Pengeluaran cairan/lendir pada selaput liang vagina dan rongga rahim – dipengaruhi oleh hormon. Oleh itu lendir ini akan meningkat jumlahnya sebelum dan sesudah haid atau sewaktu menghampiri waktu subur. Pada peringkat menopaus, pengeluaran cairan/lendir ini akan berkurang.

• Dalam kes normal, cairan/lendir dari ketiga-tiga sumber ini berwarna jernih, tidak berbau dan tidak diiringi rasa gatal. Kadangkala cairan/lendir ini boleh keluar dengan banyak tetapi tetap jernih, tidak berbau dan tidak gatal.

Siapakah Yang Kerap Mengalami Masalah Keputihan Normal?

1. Wanita yang menghampiri masa subur, sebelum atau sesudah haid.

2. Wanita yang sedang mengalami gangguan jiwa seperti terlalu sedih atau gembira.

3. Wanita hamil

4. Wanita yang mengambil pil perancang keluarga

5. Wanita yang sedang dalam rawatan dengan ubat hormon

6. Wanita yang bekerja kuat dengan menggunakan tenaga fizikal yang banyak

7. Bayi perempuan yang baru lahir, antara umur satu hingga sepuluh hari (cairan boleh keluar dari vaginanya akibat pengaruh hormon yang dihasilkan oleh placenta atau uri

8. Gadis muda yang menghampiri masa baligh

Bagaimana Pula Bentuk Cairan/Lendir Yang Tidak Normal?

• Cairan/lendir yang tidak normal biasanya bersifat putih pekat, kelihatan seperti nanah, seringkali berbau busuk serta diiringi rasa gatal-gatal pada sekeliling faraj. Adakalanya warna lendir itu berwarna kemerahan atau coklat kerana bercampur darah.


• Kebiasaannya saluran reproduktif wanita mengandungi kuman pelindung yang dikenali sebagai Lactic acidophilus atau lebih dikenali Doderlein's Bacillus. Ia dinamakan demikian (lactic acid bacteria-sejenis probiotic) kerana ia menghasilkan asid laktik yang menjadikan faraj berasid dan tidak sesuai untuk habitat kuman atau kulat dari luar.

Amaran: Kawalan kuman dari pentadbiran atau ciptaan Allah ini boleh hilang disebabkan manusia manusia yang rasa pandai dengan penggunaan bahan pembersih yang bertindak secara langsung membunuh kuman semula jadi tersebut. Oleh kerana itu, berhati-hatilah dalam memilih pembersih yang sesuai. Pengambilan antibiotik (anti atau penentang kehidupan bio) untuk jangka masa yang panjang juga kadangkala turut membunuh kuman semula jadi. Maka dalam situasi ini kuman dan kulat (bukan probiotik) mudah membiak.

jenis-Jenis Jangkitan

Jangkitan boleh dibahagikan kepada 3 jenis iaitu:

1. Jangkitan Endogenus
2. Jangkitan Melalui Hubungan Seksual
3. Jangkitan Iatrogenik

Jangkitan Endogenus

1. Adalah jangkitan yang disebabkan oleh mikroorganisma yang sumbernya datang dari diri sendiri, biasanya berasal dari anus (dubul). Yalah, walaupun bahagian dubul telah dibersihkan selepas membuang air besar, kita masih belum dapat memastikan bahawa ia telah benar-benar bebas daripada mikroorganisma. Kadang-kadang pula, sewaktu terkentut, batuk atau ketawa berlaku apa yang disebut kecirit (kat tempat ummi orang panggil..kicit) iaitu keluarnya cairan dari dubur yang mengandungi bakteria, kulat atau parasit.

2. Dalam keadaan cairan/lendir yang normal meningkat, bahagian kemaluan dan seluar dalam akan menjadi lembab. Seluar dalam yang lembab ini akan dicemari oleh mikroorganisma yang ada pada anus. Dari situlah mikroorganisma akan sampai ke mulut vagina. Di sini mikroorganisma akan berkembangbiak sehingga menimbulkan gejala.

3. Jangkitan boleh datang dari berbagai sumber mikroorganisma terutamanya:
• Bakteria
• Kulat

4. Gejala dan tanda-tanda jangkitan bakteria:
• Cairan/lendir keputihan bertukar kepada kuning
• Berbau hamis
• Rasa gatal pada kemaluan

5. Gejala dan tanda-tanda jangkitan kulat:
• Cairan/lendir keputihan seperti susu bergumpal
• Berbau asam
• Rasa gatal pada kemaluan
• Bahagian kemaluan merah dan membengkak

Jangkitan Melalui Hubungan Seksual (STD)

Dalam bahasa perubatan, jangkitan ini disebut STD iaitu ‘Sexual Transmitted Diseases’.

1. STD adalah jangkitan yang ditransmisikan melalui hubungan seksual.

2. Gejala dan tanda-tanda yang timbul boleh jadi setempat pada saluran vagina/reproduksi dan boleh juga bersifat sistemik atau kombinasi kedua-duanya.

3. Sumber mikroorganismanya adalah dari pasangan seksual. Oleh itu adalah tidak memeranjatkan jika penyakit tersebut lebih sering dihadapi oleh wanita-wanita pelacur dan mereka yang mengamalkan seks rambang.

4. Jangkitan boleh datang dari berbagai sumber mikroorganisma terutamanya:
a. Bakteria – punca kepada penyakit gonorrhoea, chlamydia dan chancroid.
b. Spirochete – punca kepada penyakit syphilis
c. Parasit – punca kepada penyakit trichomoniasis
d. Virus – punca kepada penyakit genital herpes, kutil kelamin, HIV/AIDS

5. Selalunya gejala yang timbul adalah dalam bentuk-

Setempat:
• Cairan vagina berwarna kuning atau hijau
• Alat kelamin berbau busuk
• Rasa nyeri dibahagian ari-ari
• Pendarahan dari vagina selepas persetubuhan
• Kemaluan membengkak, merah, melecet dan gatal-gatal serta rasa tidak selesa
• Gelembung berisi cairan pada kemaluan
• Tumbuh seperti kutil pada kemaluan
• Kelenjar pada lipatan peha membengkak, nyeri, pecah dan bernanah

Sistemik:
• Ruam-ruam merah pada kulit seluruh tubuh
• Demam
• Berpeluh malam
• Lesu atau lemah badan
• Penurunan berat badan

Jangkitan Iatrogenik

Adalah jangkitan yang berpunca daripada mikroorganisma yang dibawa masuk melalui peralatan di tempat rawatan. Walaubagaimanapun, di klinik-klinik atau hospital-hospital selalunya jangkitan ini jarang berlaku kerana kaedah antiseptik yang diamalkan.
Bagaimana Penyakit Dikesan?

• Melalui gejala dan sejarah penyakit
• Melalui pemeriksaan fizikal khususnya pemeriksaan dalaman, jika perlu ujian pap smear turut dilakukan.
• Melalui ujian makmal terhadap cairan/lendir keputihan. Sedikit contoh lendir diambil dari kemaluan untuk dua jenis ujian.

(a) pemeriksaan terus dengan mikroskop - untuk menentukan samada jangkitan berpunca dari kuman bakteria, kulat atau lain-lain
(b) Ujian culture dan sensitivity -kuman bakteria boleh disemai dalam media kultur. Oleh itu doktor dapat menentukan jenis bakteria dan jenis ubat yang sesuai untuk merawat pesakit.

Cadangan Bagi Mencegah Berlakunya Keputihan

• Elakkan memakai seluar dalam yang diperbuat selain daripada kain kapas
• Elakkan memakai seluar jeans yang ketat
• Pastikan kemaluan dilap kering terutamanya selepas membuang air kecil ataupun air besar.
• Digalakkan menggunakan pencuci yang boleh mengekalkan keadaan asid pada faraj kerana keadaan asid pada faraj boleh menghalang jangkitan kuman ataupun kulat pada faraj.

Rawatan Keputihan

Sekiranya ragu-ragu, wanita yang mengalami keputihan perlu menemui doktor untuk menyiasat apa puncanya. Kadang-kadang keputihan boleh disebabkan oleh ketumbuhan kanser pada pangkal rahim. Doktor akan memeriksa bahagian peranakan untuk mengesan sesuatu jenis penyakit atau ketumbuhan. Tidak semua masalah berkait keputihan disebabkan penyakit merbahaya. Tetapi adalah lebih baik mengambil langkah berjaga-jaga.

* Rawatan untuk penyakit jangkitan kuman menjadi mudah setelah diketahui apa jenis kumannya. Sebagai contoh:
(a) Kuman Monilia – Ubat Nystatin yang berbentuk peluru (dipanggil pessary) dimasukkan ke dalam faraj setiap hari selama seminggu. Ubat ini juga boleh diambil dalam bentuk pil.
(b) Kuman Trichomonas – Antibiotik Flagyl diberi secara tablet atau pessary.
(c) Gonorrhoea – Penicillin diberi dalam bentuk suntikan atau pil. Sesetengah kuman telah menjadi kebal atau resistant pada penicillin, maka jenis ubat yang lain perlu digunakan.

Apakah Komplikasi Yang Mungkin Berlaku Jika Tidak Dirawat?

1. Kemandulan (akibat rosaknya organ reproduksi terutamanya saluran fallopian)
2. Gangguan Haid
3. lain lain komplikasi yang tidak diketahui

Amaran : penulis bukan pakar puan, sila rujuk doktor pakar puan yang berkaitan. semua penulisan adalah pengalaman sendiri dalam pergaulan dengan isteri, perbualan dengan doktor dan pembacaan bebas.

No comments:

Post a Comment

Tarikh hari ini

slow connection? click here