Selasa, 8 April 2008

Asal Usul Babi

Asal usul babi menurut dongengan melayu.

Dongengan ini adalah disampaikan secara lisan ke lisan oleh segelintir orang melayu di Perak. Didapati majoriti masyarakat melayu tidak mengetahui dongengan ini. Mungkin ia adalah bertentangan dengan ajaran Agama Islam dan tidak memberi manfaat untuk disebarkan. Tetapi saya merasakan perlu disimpan dalam bentuk penulisan agar ia menjadi salah satu khazanah kreativiti minda nenek moyang dalam berkarya. Anggap sahaja ia sebagai seni hiburan ringan bukan sesuatu yang kompleks untuk difahami atau dihayati.

Kononnya ceritanya pada zaman yang sangat lampau adalah seorang manusia Bernama Celen Bahavi yang diberi wajah yang cantik dan berpenampilan yang berdaya penarik dan kemewahan dunia yang melimpah. Malahan dirajai oleh masyarakat sekelilingnya.

Asalnya ia lahir dari keturunan yang menjaga budi dan sembahan pada Sang Hyang Esa. Keturunan yang bersih dari sekutu segala ciptaan Sang Hyang Esa.

Oleh kerana diberi kelebihan sebegitu, maka bebaslah ia bersenang-senang makan manis manisan dan melampias nafsu dengan segala wanita yang senang dengannya. Sehingga ia lupa untuk memuji menyembah Sang Hyang Esa sebagaimana kelakuan keturunan turun temurun selaku keturunan mulia yang memelihara dari sebarang penyekutuan. Sehinggalah datangnya padanya satu keteguran oleh Sang Utusan

“Sesungguhnya Tuhanmu tidak memerlukanmu tapi kamulah memerlukan Tuhan.
Sama sahaja jika kamu terus lalai melakukan kerosakan atau tekun berbudi sesama manusia dan memuja keesaan dan keagongan tuhan, sama sekali tidak akan memberi faedah kepada tuhan yang Esa. Tunggal dan tiada tandingan tanpa kebergantungan. Malahan kamulah yang mendapat faedah. Janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Melampaui batas itu satu kebencian Penciptamu.”

Lalu terpinga-pinga hatinya kenapa sang utusan berkata-kata sedemikian yang sama seperti petikan dari kata-kata nenek moyang yang tercatat dalam lampiran kulit kulit kambing yang kering dan juga atas dedaunan daun lontar yang biasa dibacakan oleh arwah ibu bapanya ketika memuja Sang Hyang Esa.

“Wahai Si utusan! Jika tuhan tidak memerlukanku mengapa disuruh aku ini berbudi. Aku amat memerlukan nikmat dunia yang dianugerahiNya padaku. Benarkan aku menikmatinya tanpa memujanya” jawab Bahavi dengan angkuh!

Lalu Sang Utusan menjawab “ wahai Celen Bahavi, Demi namamu yang mulia (pencabar Kepalsuan)” demi nama keturunanmu yang mulia, yang berbudi berbakti pada rakyat jelata. Kesenangan dunia hanyalah seketika, kita manusia (pengikut-pengikut manu atau imam nuh) diberi sebagai kelebihan sebagai makhluk berakal yang mulia bersama tanggungjawab yang mulia janganlah kerana kesenangan permainan dunia, maka tertipu melupakan kehidupan yang kekal abadi.”

“Aku tak ingin pada sesuatu yang tidak pasti! Malahan aku tidak pernah meminta lahir ke dunia. Maka kenapa harus aku melakukan sesuatu yang menyusahkan. Aku tahu apa yang aku perlu. Kenapa harus ada keberatan di hati. Aku lebih rela menjadi sehina-hina makhluk ciptaannya asalkan aku boleh terus menikmati kesenangan kesenangan di dunia. Mintalah pada tuhanmu. Aku sedikitpun tidak mengharap kehidupan sebenar yang kekal abadi sehingga terpaksa meninggalkan sesaat kesenangan-kesenangan yang sedang ku kecapi” jawab Celen Bahavi sambil mencampak bekas najis kepada sang utusan. (kerana terlalu asyik dengan kesenangan sehingga malas hendak ke tandas akibat mendapat bala penyakit kerap kencing kerana makan secara berlebihan)

Sang utusan tidak berputus asa. Berterusan menyampaikan nasihat-nasihat agar mereka pengikut-pengikut Celen Bahavi yang asyik hidup dalam pesta yang penuh kerosakan supaya meninggalkan cara hidup sebegitu dan kembali memuja Sang Hyang Esa dan hidup cara seimbang. Sehinggalah suatu masa, permintaan mereka yang kononnya memohon agar dijadikan sehina-hina makhluk asalkan perlakuan makan mengikut nafsu dan bebas berzina sesama mereka dapat dikekalkan ditunaikan tuhan.

Maka dengan kehendak Sang hyang Esa Dewata Raya, maka bertukarlah mereka menjadi makhluk sehina-hinanya yang mendongakkan hidung kerana kesombongan dan diharamkan kita sebagai pengikut manu (imam nuh) memakan mereka. Maka diberi bentuk tengkuk yang besar agar menjadi tanda tidak boleh dimakan dagingnya kerana dari jenis manusia asalnya. Tetapi konon dongengannya di masa akan datang akan di ambil menjadi ubat penawar darurat sementara buat mereka mengamalkan tabiat seperti Celen Bahavi iaitu penyakit kencing manis melalui pencerna zat yang terdapat pada hati dan hempedu pengikut Celen Bahavi.

Binatang yang dimaksudkan ialah Babi atau khinzir.

Terjermahan adalah bebas. Mungkin terdapat kesalahan makna dan tafsir jalan cerita akibat kelemahan penulis dalam membuat penterjermahan. Terdapat tokok tambah menurut kefahaman penulis agar maksud sebenar jalan cerita disampaikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Tarikh hari ini

slow connection? click here